Kakamigahara: Penantian panjang skuad hoki lelaki Malaysia untuk kembali ke pentas Olimpik terus tertangguh, selepas tewas 1-5 kepada India pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gifu Prefectural Green Stadium, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal memanfaatkan pentas Sukan Asia, untuk meraih kejuaraan yang menawarkan tiket kelayakan automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), selepas peluang sama turut terlepas pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

India, selaku juara bertahan, bermula garang apabila kapten Harmanpreet Singh membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Malaysia bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi pukulan deras Shello Silverius dari dalam petak D, untuk menjadikan kedudukan 1-1.