GUA MUSANG – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membina dan menaik taraf kemudahan fizikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke sebagai usaha memperkasa pendidikan anak Orang Asli suku Temiar.

Kemudahan yang disediakan menerusi Program Sekolah Angkat Madani itu merangkumi dataran sekolah, pusat sumber serta bilik darjah yang dilengkapi televisyen dan tablet pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara interaktif.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha universiti itu membawa pembangunan pendidikan dan komuniti ke kawasan pedalaman.