SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menyangkal dakwaan bahawa Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencampuri urusan Luak Sungei Ujong dalam suatu sidang pada 17 April lalu.

Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, berkata sidang itu adalah DKU menjalankan fungsinya sebagaimana dikehendaki oleh Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, iaitu menerima dan memberi nasihat berhubung keputusan yang sudah dibuat oleh Luak menurut adat.

Tuanku Muhriz adalah Yang Dipertua Dewan pada sidang berkenaan.

Raja Norazli berkata, perkara yang dibawa ke hadapan DKU pada sidang itu ialah aduan yang dibuat oleh wakil-wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.