GERIK: Nahas tiga kenderaan mengorbankan empat individu di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini, hari ini, berpunca daripada Perodua Axia yang memasuki laluan bertentangan susulan hilang kawalan.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, nahas di Kilometer 38.5, JRTB Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik tengah hari tadi, membabitkan sebuah lori, sebuah Proton Persona dan sebuah Perodua Axia yang dinaiki keempat-empat mangsa berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang datang dari arah Gerik menuju ke Jeli, Kelantan.

"Berdasarkan siasatan awal, Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona.