Kuala Lumpur: Pemain bass, Joe, 63, yang menyertai kumpulan rock Bloodshed pada 2008 meninggal dunia selepas rebah ketika dalam persiapan untuk sesi busking bersama beberapa rakan di Temerloh, Pahang, malam tadi.

Berita sedih ini dikongsi ramai penggiat seni di media sosial antaranya penyanyi Afee U-Topia yang merakamkan ucapan takziah dan menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

Vokalis kumpulan busking terbabit, Zamri Umar, 41, ketika dihubungi Harian Metro berkata, kejadian berlaku sebelum mereka memulakan persembahan di sebuah kedai makan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, mereka hanya mengadakan persembahan secara santai dan sudah biasa beraksi di kedai makan itu, tetapi bukan setiap minggu.