KETIKA Selangor mengalami perubahan landskap politik, ekonomi dan demografi, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terus menjadi lambang kesinambungan pemerintahan beraja yang berwibawa.Sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 22 November 2001, baginda menyaksikan negeri itu berubah menjadi pusat ekonomi terbesar negara dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM460.1 bilion pada 2025.Perjalanan hampir suku abad itu turut merentasi pertukaran kerajaan negeri pada 2008, kemelut pelantikan Menteri Besar pada 2014, pandemik dan banjir besar, sekali gus menguji peranan institusi diraja.Di sebalik kemajuan itu, jumlah penduduk negeri juga meningkat daripada sekitar empat juta kepada lebih 7.4 juta orang. Perubahan tersebut membawa tuntutan lebih besar terhadap kemudahan asas, perumahan dan peluang ekonomi.Pada 2008, baginda membekukan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada ahli politik, sambil mengingatkan mereka supaya mendahulukan tugas daripada anugerah.Dalam pergolakan 2014, baginda memainkan peranan Perlembagaan sehingga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar baharu. Peristiwa itu memperlihatkan cabaran memelihara kedudukan institusi diraja tanpa mengambil alih persaingan politik kepartian.Bagi Penyandang Kerusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan, institusi sultan mempunyai akar sejarah yang jauh melangkaui pemerintahan seseorang raja."Institusi sultan merupakan kesinambungan sistem pemerintahan di Alam Melayu sejak lebih satu alaf atau seribu tahun lalu," katanya kepada Sinar Ahad.Menurut beliau, kesinambungan itu bukan bermaksud negeri harus kekal tanpa perubahan, sebaliknya institusi diraja terus berperanan dalam kerangka Perlembagaan ketika urusan pentadbiran dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing.Beliau mengingatkan bahawa peranan Raja Berperlembagaan perlu difahami melalui bidang kuasa, bukan disamakan dengan kuasa mentadbir kerajaan negeri.Awang Sariyan berkata, komitmen Sultan Sharafuddin terhadap agama, bahasa dan kebajikan rakyat memperlihatkan perhatian baginda terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat."Meskipun Sultan tidak campur tangan dalam tugas rutin eksekutif, segala titah baginda dapat ditafsirkan sebagai garis panduan untuk diterjemahkan oleh eksekutif," katanya.Pendirian baginda terhadap keharmonian masyarakat antara lain terserlah pada Februari 2025 apabila baginda tidak bersetuju dengan cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan bukan Islam dan menekankan kepentingan toleransi dalam masyarakat majmuk.Bagi Awang Sariyan, cabaran institusi raja turut terletak pada kefahaman sejarah dan sistem kenegaraan, terutama dalam kalangan generasi muda."Baginda bukan sekadar bersemayam di singgahsana, bahkan menjadi penyampai suara batin seluruh rakyat dan telah melaksanakan amanah sebagai ketua negeri yang berwibawa lagi berkesan," katanya.Amanah diterjemah melalui tindakanSetiausah