GEORGE TOWN : Hujan lebat sejak petang semalam dan berlarutan sehingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai dan sebelah pulau mula dinaiki air.

Selain itu, kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di Balik Pulau akibat hujan lebat, namun, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan susulan kejadian tersebut.

Difahamkan juga, setakat pagi ini, belum ada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, di Taman Cantek, Butterworth, sekurang-kurangnya 20 buah rumah terjejas akibat banjir kilat apabila air daripada parit berhampiran naik sehingga ke paras satu kaki, sejak tengah malam tadi.