Kota Belud: "Meremang juga bila tengok semula gambar itu dan melihat ada penampakan entiti berkenaan. Mujur dalam gambar saja kerana tak boleh bayangkan macam mana kalau muncul di depan mata," kata Ayu Wan Jira Jakaria atau Rashayu.

Dia berkongsi kisah di sebalik gambar penampakan entiti misteri yang dikongsikan di akaun Facebook (FB) miliknya semalam.

Bercerita lanjut, Rashayu, 30, berkata, gambar itu diambil oleh pembantu peribadinya, Sakina Ondu ketika dia berada di satu lokasi set penggambaran, di sini, bagi melakonkan watak pontianak untuk sebuah filem bertajuk 'Hantu Dupang' arahan Ebi Kornelis.

Menurut Rashayu yang juga pelakon tambahan untuk filem berkenaan, watak itu menuntutnya memakai persalinan kostum warna putih dengan tompokan merah seperti darah bersesuaian dengan karakter pontianak.