Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa terhadap salah urus Lembaga Tabung Haji (TH), sambil menegaskan bahawa dana yang diamanahkan bagi tujuan keagamaan perlu diurus dengan penuh akauntabiliti dan bertanggungjawab.

Baginda bertitah, TH ditubuhkan bagi membantu umat Islam di Malaysia menabung untuk menunaikan ibadah haji di Makkah, justeru salah urus serta dakwaan penyelewengan tidak sepatutnya berlaku.

"Begitu juga, pengurusan dana yang diperuntukkan bagi tujuan keagamaan mestilah berlandaskan akauntabiliti dan tanggungjawab," titah baginda sambil menegaskan bahawa prinsip sama turut terpakai kepada rumah ibadat semua agama dan rumah anak yatim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian dalam sesi temu bual khas dikendalikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, baru-baru ini, bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.