KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa terhadap salah urus Lembaga Tabung Haji (TH) sambil menegaskan bahawa dana yang diamanahkan bagi tujuan keagamaan perlu diurus dengan penuh akauntabiliti dan bertanggungjawab.
Baginda bertitah TH ditubuhkan bagi membantu umat Islam di Malaysia menabung untuk menunaikan ibadah haji di Makkah, justeru salah urus serta dakwaan penyelewengan tidak sepatutnya berlaku.
“Begitu juga, pengurusan dana yang diperuntukkan bagi tujuan keagamaan mestilah berlandaskan akauntabiliti dan tanggungjawab,” titah baginda sambil menegaskan bahawa prinsip sama turut terpakai kepada rumah ibadat semua agama dan rumah anak yatim.
Sultan Sharafuddin turut menggesa ahli politik di Selangor supaya memberikan tumpuan kepada usaha berkhidmat untuk rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memelihara perpaduan bagi mengekalkan kedudukan negeri itu sebagai antara negeri terunggul di negara ini.









