GEORGETOWN: Lelaki ditemui meninggal dunia apabila bahagian belakang rumahnya di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini, ditimbus tanah runtuh pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.36 pagi.

Menurutnya, seramai tiga mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh itu, termasuk seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri.

"Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikerahkan ke lokasi kejadian bersama jentera pemadam ringan dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS)," katanya.