KUANTAN: Pahang Rangers FC mempamerkan aksi luar biasa untuk menamatkan rekod tanpa kalah Selangor FC selepas mencatat kemenangan 4-3 pada final pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile berkata kejayaan itu cukup bermakna memandangkan Selangor merupakan juara musim ini dan belum pernah mengalami kekalahan sebelum pertemuan berkenaan.

Beliau berkata anak buahnya memberikan komitmen 110 peratus, ditambah sokongan padu penyokong sendiri, untuk memastikan mereka membawa bekalan berharga menjelang final kedua Sabtu depan.

"Kami tahu perlawanan ini sangat sukar, namun pada masa sama amat penting. Pemain memberikan 110 peratus dan akhirnya kami berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa menerusi persembahan hebat serta kemenangan ini," kata Alonso.