KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja menerusi libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan pihak berkepentingan lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, konsultasi lebih luas masih diperlukan bagi memastikan pandangan agensi berkaitan diambil kira dalam pembangunan dasar itu.

Katanya, KKM tidak mahu dasar berkenaan dibangunkan secara terasing tanpa perbincangan mencukupi dengan pihak berkepentingan lain.

“Perkara yang mustahak untuk saya sebutkan di sini, kita masih lagi dalam proses untuk mengadakan konsultasi lebih luas dengan pemegang taruh yang lain,” katanya.