Pengorbanan ibu menjadi pembakar semangat buat Mohamad Amar Aidid Mohd Zain untuk terus melakar kejayaan, manakala Ang Yan Wei pula menjadikan sokongan keluarga dan pengalaman kepimpinan sebagai dorongan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Mohamad Amar dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026, sementara Yan Wei pula menerima Anugerah Tokoh Perpaduan.
Kedua-duanya membuktikan kejayaan bukan sekadar diukur melalui pengiktirafan, sebaliknya sejauh mana ilmu, pengalaman dan peluang yang dimiliki mampu memberikan manfaat kepada orang lain.
Mohamad Amar, yang berasal Tanah Merah, Kelantan itu bukan sahaja aktif dalam kepimpinan mahasiswa, malah berjaya menggerakkan usaha kebajikan sehingga mengumpulkan sumbangan RM290,651.51 bagi membantu mangsa nahas membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.








