PASIR MAS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan hari ini menyerahkan dua pos kawalan yang baharu siap dibina kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Pos Kaloi dan Wakaf Zin yang letaknya di sini, dibina menerusi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa Satu.

Pengarah JPS Kelantan, Datuk Dr Siti Fairus Zakaria, berkata kedua-dua kemudahan itu adalah pos kawalan ketiga dan keempat daripada keseluruhan 12 yang dirancang di bawah projek berkenaan.

Katanya, Pos Kaloi dan Wakaf Zin siap dibina pada 12 Julai tahun ini, manakala dua lagi iaitu Pos Pok Teh Kana dan Pak Atah, diserahkan pada September tahun lalu.