KUALA LUMPUR: Enam kes aktiviti lumba haram dan ujian kelajuan dikesan dalam Ops Khas Motosikal di sekitar ibu negara malam tadi, menyaksikan sembilan motosikal turut disita.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi dijalankan bersama Ibu Pejabat JPJ Putrajaya itu menyasarkan aktiviti lumba haram dan menunggang secara berbahaya di sepanjang Jalan Raja Laut, Jalan Ampang serta pusat bandar.

"Operasi membabitkan 37 anggota penguat kuasa itu dijalankan dari jam 10 malam tadi hingga 5 pagi hari ini, dengan penekanan khusus terhadap penguatkuasaan di bawah Seksyen 42A(1) dan 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hamidi berkata, 35 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tujuh jam itu, dengan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 11 kenderaan.