KOTA KINABALU - Seorang murid Tahun Lima parah selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Waja dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau di sini pada awal pagi Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu mengalami pendarahan pada bahagian kepala.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun."Kemalangan berlaku apabila kereta tersebut datang dari arah Pekan Manggatal menuju ke sebuah pasar raya dan sebaik tiba di lokasi iaitu hadapan sekolah, murid tersebut telah terlebih dahulu melintas jalan menggunakan lintasan pejalan kaki dari arah kanan ke kiri jalan."Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak dapat mengelak daripada melanggar murid tersebut di lorong kanan jalan menyebabkan mangsa terhumban ke hadapan," katanya dalam kenyataan.Shahrudin berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk rawatan lanjut."Murid tersebut mengalami kecederaan pendarahan pada bahagian kepala dan menerima rawatan di Jabatan Kecemasan serta berada Zon Merah."Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Beliau dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran.