Manchester: Manchester United dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran baharu sekurang-kurangnya £70 juta (RM400 juta) untuk mendapatkan khidmat pertahanan Newcastle United, Lewis Hall, pada jendela perpindahan musim panas musim depan.

Minat United terhadap pemain antarabangsa England itu kekal utuh meskipun kelab berkenaan masih berdepan ketidaktentuan mengenai kedudukan Michael Carrick selaku ketua jurulatih.

Perkembangan itu hadir selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu, yang meningkatkan tekanan terhadap Carrick.

Menurut laporan Football Insider, wartawan Pete O'Rourke berkata Hall kekal sebagai antara sasaran utama United dan kelab itu berpotensi menghidupkan semula usaha mendapatkan pemain berkenaan pada musim panas akan datang.