KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menggesa perlindungan lebih kukuh terhadap harta intelek penggiat muzik tempatan diperkasakan bagi memastikan nilai ekonomi yang dijana industri itu dapat dikekalkan, susulan keputusan kerajaan menubuhkan Dana Ekonomi Oren untuk memperkasa industri muzik negara.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata usaha membangunkan industri muzik perlu melangkaui sokongan kepada artis di pentas, sebaliknya merangkumi keseluruhan ekosistem termasuk penulis lagu, penerbit muzik, syarikat rakaman dan golongan profesional yang terlibat dalam penghasilan serta pengkomersialan karya.
Beliau berkata, perlindungan harta intelek penting bagi memastikan hasil kreativiti penggiat muzik terus mempunyai nilai komersial dan memberikan pulangan sewajarnya kepada pemilik hak.






