KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei hanya akan dibenarkan kembali beraksi selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, sekali gus berkemungkinan terlepas saingan Terbuka Malaysia di laman sendiri Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan Ee Wei benar-benar pulih 100 peratus sebelum kembali beraksi bagi mengelakkan risiko kecederaan berulang.

Beliau berkata, pemain itu menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan di Melbourne, Australia, susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya ketika beraksi di Terbuka Singapura, Mei lalu.