Kuala Lumpur: Pernah menyimpan impian untuk menunaikan umrah namun terbatas kerana kekangan kewangan, wanita ini tidak menyangka perkongsian berkenaan cabarannya mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing membawa tuah apabila dijemput menjadi tetamu Allah, bulan depan.

Lebih bermakna, Siti Anizah Ibrahim, 38, yang memenangi pakej umrah menerusi peraduan anjuran sebuah syarikat e-hailing turut berpeluang membawa suaminya, Khusairill Md Yusof, 50, sekali gus menjadi hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran lelaki itu pada 23 Oktober lalu.

Kerani agensi kerajaan di Melaka yang memandu e-hailing secara sambilan pada sebelah malam itu berkata, pada mulanya dia dimaklumkan videonya disenarai pendek dan perlu menjalani sesi temu bual secara panggilan video.