KUALA LUMPUR: Polis sudah membekukan dan merampas aset bernilai kira-kira RM409 juta dalam siasatan berterusan berhubung dakwaan aktiviti `mafia korporat'.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai sekitar RM323.59 million serta 404 akaun bank mengandungi baki kira-kira RM85.62 juta.

"Setakat 25 September lalu, polis sudah merakam keterangan 70 individu.

"Berdasarkan latar belakang dan identiti mereka yang disoal siasat, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit atau dikenal pasti membantu dalam siasatan itu," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.