PETALING JAYA: Polis membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409 juta yang merupakan sebahagian siasatan berterusan terhadap isu mafia korporat di bawah Op Viking.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merangkumi lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham melibatkan sekitar RM323.59 juta dan 404 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM85.62 juta.
Beliau berkata, setakat 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Polis telah mengambil tindakan, termasuk penahanan beberapa individu serta pembekuan dan penyitaan pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.








