IPOH: Pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak terlepas hukuman mati apabila pertuduhan membunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie yang dihadapinya sebelum ini, dipinda kepada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mohd. Nazri, 47, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh terhadap pertuduhan pindaan di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Disember 2023.

Terdahulu, Datuk Bhupindar Singh meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dipinda kepada Seksyen 304(b) kanun sama.