SEBELUM wujud cip, biometrik dan teknologi keselamatan, pengenalan diri di negara ini pernah bergantung pada sekeping kertas. Malah, dokumen itu mempunyai satu fungsi yang hari ini kedengaran ganjil, digunakan untuk mendapatkan catuan beras ketika negara berdepan zaman darurat.

Itu titik mula perjalanan panjang kad pengenalan Malaysia yang kini melalui pelbagai perubahan, daripada sekeping kertas kepada kad pintar dengan ciri keselamatan yang semakin canggih.

Kad pengenalan pertama dikeluarkan pada tahun 1948 ketika negara masih dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, susulan penguatkuasaan peraturan darurat sebagai antara langkah keselamatan bagi menangani ancaman komunis.

Ketika itu, semua penduduk diwajibkan mendaftar dan memiliki kad pengenalan apabila mencapai usia 12 tahun.