Bagi kebanyakan orang, laut menyimpan misteri yang sukar diterokai. Namun, bagi Jialing Cai, 27, dunia bawah laut menjadi ruang untuknya menggabungkan minat terhadap hidupan marin dengan seni fotografi.

Anak kelahiran Chongqing, China itu bukanlah dibesarkan berhampiran laut. Sebaliknya, dia membesar di kawasan pedalaman yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari laut.

Siapa sangka, wanita yang pada awalnya mempelajari biologi marin itu akhirnya menjadi jurugambar bawah air yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Keistimewaan Cai terletak pada fotografi blackwater iaitu teknik merakam hidupan kecil yang muncul dari kedalaman laut ketika malam.