KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyegerakan urusan kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) secara 'one-off' membabitkan 12,000 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) yang ketika ini masih dalam proses pelaksanaan.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan keseluruhan perkhidmatan awam dan tidak terhad kepada kementerian atau jabatan tertentu sahaja.
"Ia tidak membabitkan mana-mana jabatan tertentu. Ia membabitkan keseluruhan perkhidmatan awam, seramai 12,000 pegawai, dan mereka akan diberikan kenaikan pangkat secara KUP.
"Buat masa ini masih lagi dalam proses pelaksanaan dan kita akan buat secepat mungkin sebab banyak agensi yang terbabit," katanya.








