Kuala Lumpur: Jumlah penjimatan subsidi bahan api bagi tahun ini akan dimuktamadkan pada hujung tahun selepas mengambil kira pelarasan berdasarkan transaksi sebenar, harga pasaran mingguan, kadar pertukaran mata wang dan jumlah penggunaan yang disahkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan BUDI95 secara keseluruhan dijangka menjana penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

"Penjimatan itu merupakan hasil pelaksanaan penyasaran subsidi secara menyeluruh, termasuk mengurangkan ketirisan subsidi kepada bukan warganegara dan kategori pengguna yang tidak layak, serta pembelian yang tidak selaras dengan objektif perlindungan sosial kerajaan.

"Kerajaan akan terus memastikan penjimatan berkenaan dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, serta inisiatif lain yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.