KUALA LUMPUR: Seramai 12,629 pekerja warga Thailand direkodkan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif dalam sektor masakan dan perkhidmatan restoran sehingga 15 September lalu. sekali gus menafikan dakwaan jumlah mereka mencecah 200,000 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 12,541 bekerja sebagai tukang masak, iaitu 7,559 lelaki dan 4,972 wanita.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata seramai 43 warga Thailand bekerja sebagai krew restoran, diikuti pekerja kedai makan (38) dan pekerja restoran (tujuh).

"Dakwaan terdapat 200,000 warga Thailand bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia tidak dapat disahkan.

"Bagaimanapun, Imigresen akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap majikan atau premis menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja sah," katanya.