Kuala Lumpur: Seramai 12,629 pekerja warga Thailand direkodkan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif dalam sektor masakan dan perkhidmatan restoran sehingga 15 September lalu, sekali gus menafikan dakwaan jumlah mereka mencecah 200,000 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 12,541 tukang masak Thai terdiri daripada 7,559 lelaki dan 4,972 wanita.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, selain tukang masak, seramai 43 warga Thailand bekerja sebagai krew restoran, diikuti 38 pekerja kedai makan dan tujuh pekerja restoran.
"Dakwaan bahawa terdapat 200,000 warga Thailand bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia tidak dapat disahkan.
"Bagaimanapun, Imigresen akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap majikan atau premis yang menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah," katanya.








