PUTRAJAYA: Dua pegawai agensi penguat kuasa persekutuan antara lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada sebuah agensi pekerja asing.

Tiga lagi individu ialah ejen pekerja asing yang meminta dan menerima rasuah itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di bawah seliaan agensi tersebut.

Perintah reman selama lima hari sehingga 1 November 2026 terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Dhilip Nair A/l R.N. Atchuthan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi tadi.

Kelima-lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki, dua daripadanya merupakan pegawai agensi penguat kuasa persekutuan serta dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu telah ditahan antara pukul 10 pagi dan 4 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Selangor dan Johor.