Ipoh: "Saya sedar apa-apa hukuman yang dijatuhkan tidak akan mampu mengembalikan anak saya ke pangkuan keluarga."
Demikian rintihan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, bapa kepada Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dilanggar pegawai kanan polis Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 47, tiga tahun lalu.
Zamrie berkata, tragedi yang memberi kesan mendalam terhadap dirinya dan keluarga itu bukan sahaja meragut nyawa anaknya, malah turut memadamkan harapan keluarga mereka pada masa hadapan.
"Anak saya masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah. Pada usia itu, beliau sepatutnya diberi peluang untuk meneruskan kehidupan dan mengejar cita-cita untuk membina kerjaya serta menikmati masa depan bersama keluarga.








