PALANGKARAYA: Lebih 300,000 penduduk Indonesia mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat kebakaran hutan dan jerebu tebal yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu, dengan keadaan paling buruk dilaporkan di wilayah Kalimantan Tengah.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah itu membabitkan penduduk di tujuh wilayah yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan antara Ogos dengan Oktober.
Di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan akibat jangkitan pernafasan ketika kebakaran hutan terus merebak dan menyelubungi kawasan kediaman dengan asap tebal yang berbahaya kepada kesihatan.
Orang ramai semakin bimbang apabila tidak mampu lagi bertahan dikelilingi asap tebal walaupun memakai pelitup muka dan cermin mata keselamatan.






