Yogyakarta: Mahkamah Indonesia pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap 11 pengasuh kanak-kanak kerana mendera kanak-kanak di sebuah pusat jagaan harian, dalam kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh negara.

Polis menahan semua pengasuh wanita itu pada April lalu, bersama pengetua pusat berkenaan dan ketua yayasan yang mengendalikannya.

Penahanan itu dibuat selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah dua tahun, terbaring di lantai hanya memakai lampin, dengan tangan dan kaki diikat menggunakan kain buruk.

Beberapa ibu kepada kanak-kanak terbabit dilihat menyeka air mata ketika Hakim Sunaryanto menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga tiga tahun terhadap setiap tertuduh di sebuah mahkamah di Yogyakarta, Pulau Jawa.