Kuala Lumpur: Kilang pembuatan cakera brek karbon Safran Group di Sendayan, Negeri Sembilan menyumbang 27 peratus daripada jumlah pengeluaran globalnya, sekali gus mengukuhkan kepentingan operasi Malaysia dalam rangkaian pembuatan global Safran.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kilang itu menghasilkan cakera brek karbon untuk pesawat yang dibina oleh Airbus, Boeing dan ATR.

"Cakera brek yang dihasilkan di Sendayan pasti akan digunakan pada pesawat yang terbang ke mana-mana sahaja di dunia," katanya pada majlis pembesaran kilang pembuatan cakera brek karbon Safran Landing Systems Malaysia Sdn Bhd di Sendayan serta pembukaan kemudahan baharu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) roda dan brek semalam.