Kuala Lumpur: Hujan lebat dan pokok tumbang di sekitar Lembah Pantai, Bangsar dan Kampung Kerinchi di sini, semalam, mengakibatkan ada warga kota yang terperangkap dalam kesesakan luar biasa sehingga berjam-jam.
Berdasarkan perkongsian beberapa pengguna media sosial, ada pengguna jalan raya di kawasan itu terkandas dalam trafik perlahan hampir lima jam untuk mengambil anak dari sekolah yang terletak hanya beberapa kilometer (km) dari rumah.
Pengguna Threads @lyslysa dalam hantarannya berkata, dia memandu kereta bermula dari Bangsar South atau Kampung Kerinchi menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar dan kembali semula ke Pantai Hillpark yang memakan masa hampir lima jam.
Berdasarkan carian di Google Maps, jarak perjalanan antara lokasi berkenaan hanya dianggarkan kira-kira lima hingga enam km sahaja.









