PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin lalu membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13, dengan persoalan utama bukan sekadar kemampuan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan penguasaan, tetapi sejauh mana parti pembangkang mampu menawarkan persaingan bermakna di negeri berkenaan.
Berdasarkan rekod, GPS dijangka berdepan PRN13 bersendirian tanpa perlu membentuk pakatan dengan parti lain berikutan kedudukan politiknya yang kukuh serta rekod pentadbiran cemerlang di bawah pimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dengan kekuatan sedia ada, GPS dilihat tidak mempunyai keperluan mendesak untuk menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), meskipun kedua-dua gabungan mempunyai ruang untuk bekerjasama pada peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.










