LUMUT – Empat nelayan warga Myanmar bersama dua vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Segari di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, VNT berkenaan ditahan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan berkenaan.
“Kedua-dua vesel berkenaan dikesan oleh bot ronda APMM ketika melaksanakan rondaan penguatkuasaan di sekitar sektor operasi berkenaan.
“Tangkapan dibuat kira-kira pukul 3.20 pagi dan 3.40 pagi pada kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika dari pantai Segari,” katanya di sini hari ini.









