Washington: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan seorang wanita California pada Ahad dan mendakwanya mengintip anak Presiden Taiwan atas arahan pegawai China, menurut FBI.

FBI menahan Wanying Zhang, juga dikenali sebagai Heather, di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada Ahad sebelum dia dijadualkan berlepas ke China, menurut kenyataan agensi itu.

Pihak berkuasa mendakwa Zhang, 34, dari Irvine, California, bertindak sebagai ejen asing yang tidak berdaftar.

FBI berkata, Zhang mengawasi salah seorang anak Presiden Taiwan Lai Ching-te. Agensi itu tidak menamakan secara langsung individu yang didakwa menjadi sasarannya, namun laporan New York Post yang mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai Lai Ting-yu, seorang penduduk AS.