Ada insan yang namanya begitu dekat di hati masyarakat setempat, namun perjalanan hidup tidak didendang.

Figura kesihatan, Dr Uma Devi, 72, umpamanya mengabdikan lebih empat dekad kehidupannya untuk masyarakat Miri, Sarawak.

Di sebalik ketenangan wanita dan juga bekas Pengarah Hospital Miri, tersimpan kisah seorang anak kelahiran Pulau Pinang yang pada awalnya bercita-cita menjadi doktor haiwan kerana kecintaannya terhadap haiwan berbulu, sebelum akhirnya memilih bidang perubatan manusia.

Apatah lagi impian bergelar doktor haiwan juga tidak mendapat sokongan keluarga apabila ibunya menggalakkan beliau memilih bidang perubatan.