MELAKA – Sebanyak 189 borang penamaan calon sudah dibeli bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat malam tadi, dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi proses penamaan calon esok, sebanyak 28 pusat penamaan calon akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula 9 pagi hingga 10 pagi.

“Bagi kelancaran proses, SPR menyeru semua bakal calon supaya hadir lebih awal bagi membolehkan petugas SPR membuat semakan dokumen dengan teliti sekali gus mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.

“Kita (SPR) tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding atau sebagainya. Kita cuba elakkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau simulasi penamaan calon di Dewan Ballroom, Stadium Hang Jebat, Paya Rumput di sini hari ini.