PUCHONG – Bencana banjir pada tahun ini dijangka tidak seteruk seperti pada 2021 yang menyaksikan beberapa kawasan, termasuk lokasi jarang dilanda banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, terjejas teruk.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, perkara ini berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berhubung keadaan ramalan hujan susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula akhir Oktober 2026 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

“Ikut ramalan setakat hari ini, tahun ini kita rasa banjir paling kurang (kadar teruk). Kita doakan ramalan ini betul berdasarkan MetMalaysia.

“Tahun ini paling kurang banjir dan kesan banjir,” katanya pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.