GEORGE TOWN : Empat buah rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini minggu lepas telah diarah untuk dikosongkan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan susulan tragedi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, notis pengosongan itu sudah dikeluarkan kepada penduduk yang terlibat sementara menunggu hasil perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Isnin ini, kita akan adakan mesyuarat dengan JKKP. Jadi, buat sementara waktu ada empat rumah perlu dikosongkan. Kita akan beri makluman lanjut selepas mesyuarat tersebut (dengan JKKP),” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.








