KUALA LUMPUR: Lebih lima tawaran awam permulaan (IPO) baharu dijangka memasuki Pasaran Utama Bursa Malaysia, termasuk IOI Property REIT, KK Mart Retail dan Big Caring Group, sekali gus berpotensi merancakkan aktiviti dagangan serta menarik minat pelabur ke pasaran saham tempatan.
Penganalisis BIMB Securities Research, Kelvin Ong, berkata prospek penyenaraian baharu yang kekal kukuh itu dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada prestasi pasaran modal negara.
Beliau berkata, ia juga turut disokong beberapa inisiatif strategik termasuk peluasan komponen indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) daripada 30 kepada 50 saham mulai Disember 2026.
Katanya, aliran penyenaraian baharu yang berterusan dijangka membantu mengekalkan minat pelabur dan meningkatkan aktiviti dagangan dalam pasaran sekuriti.










