Kerajaan mahu mengurus keberadaan pelarian secara teratur dan terkawal sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal.

Katanya lagi, DPP juga bukan laluan untuk pelarian memperoleh status penduduk tetap atau mendapatkan kewarganegaraan.

"DPP merupakan mekanisme untuk mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau pelarian sedia ada sementara penyelesaian akhir dilaksanakan mengikut undang-undang," menurut kenyataan.

Katanya, melalui DPP yang dilaksanakan pada 1 Jan lalu, kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).