PETALING JAYA: Pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi memecahkan undi, sekali gus memberi ruang kepada BN meraih kelebihan di kerusi marginal.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya PH dan Bersatu merebut sokongan daripada kelompok pengundi yang sama.

Menurutnya, persaingan antara kedua-dua parti itu berpotensi menguntungkan BN, terutama di kawasan yang mempunyai majoriti tipis.

Bagaimanapun, katanya, Bersatu juga berpeluang menarik sebahagian undi penyokong BN atau Perikatan Nasional (PN), sekali gus mempengaruhi keputusan pertandingan.