KYIV: Ukraine menghentikan sementara serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia selepas beberapa minggu berdepan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber yang mengetahui operasi berkenaan.

Penghentian serangan secara tidak rasmi itu bermula awal minggu lalu dan dijangka berterusan sehingga selepas pilihan raya pertengahan penggal AS, malah berkemungkinan dilanjutkan hingga November, menurut laporan itu.

Dua pegawai tentera memberitahu WSJ bahawa unit Ukraine yang terlibat dalam serangan jarak jauh dimaklumkan pada pertengahan Oktober bahawa operasi menyasarkan kilang penapisan minyak pada dasarnya ditangguhkan sebaik sahaja misi yang sedang dijalankan selesai.