DUBAI: Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas loji penapisan minyak terbesar milik Arab Saudi, Ras Tanura, semalam.
Peningkatan konflik antara Yaman dan Arab Saudi itu menyemarakkan lagi gangguan terhadap bekalan minyak global, sekali gus meningkatkan risiko meletusnya konflik serantau yang lebih meluas selepas lapan bulan perang membabitkan Iran tercetus.
Selain itu, kumpulan Houthi turut mendakwa melancarkan serangan ke atas pesawat tentera Arab Saudi serta berjaya mematahkan kemaraan pasukan pakatan sokongan Riyadh berhampiran Selat Bab el-Mandeb, yang juga laluan perkapalan penting di Laut Merah.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata serangan ke atas loji penapisan Ras Tanura itu menyebabkan kebakaran di kompleks berkenaan, yang turut menempatkan terminal perkapalan.









