MASJID TANAH - Isu bantahan MCA berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diselesaikan secara baik apabila parti itu diberikan tambahan dua kerusi untuk ditandingi, menjadikan keseluruhan empat kerusi.Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu membuktikan MCA kekal bersama BN dan tidak memboikot PRN Melaka seperti yang diperkatakan sebelum ini.Menurutnya, MCA akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Kota Laksamana dan Bandar Hilir selain Klebang dan Machap Jaya."Ramai yang menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot PRN Melaka ini ataupun sekurang-kurangnya mereka merajuk, tetapi perkara itu tidak berlaku."Sebaliknya, MCA telah diberikan empat kerusi dan ini merupakan manifestasi kebersamaan dalam BN," katanya.Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Ab Karim, JAPERUN Tanjung Bidara, pada Sabtu.DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku penyandang kerusi dengan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri merupakan seorang jurutera.Ahmad Zahid berkata, BN dan MCA akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi, selain berusaha mengurangkan majoriti kemenangan parti lawan di kawasan yang tewas pada pilihan raya lalu.Dalam perkembangan sama, beliau berharap kempen PRN Melaka berlangsung dalam suasana tenang tanpa sebarang unsur fitnah atau tindakan yang boleh mencemarkan proses demokrasi."Kita mahu supaya tidak ada kempen fitnah ataupun mencacat-celakan kempen-kempen dengan pelbagai kaedah yang tidak baik"Itu juga diperakukan oleh Pakatan Harapan. Saya harap mereka akan benar-benar melakukan perkara yang sama," katanya.Dalam pada itu, mengulas sasaran kerusi yang mampu dimenangi BN, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan negeri seterusnya.Bagi PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 23 kerusi, membabitkan UMNO (18), MCA (empat) dan MIC (satu), manakala baki lima kerusi ditandingi Perikatan Nasional (PN).