KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd mencatatkan kadar pengambilan 100 peratus bagi projek kediaman Seroja Gardens Fasa 1 di Nilai Impian, Negeri Sembilan, apabila kesemua 52 unit rumah berkembar setingkat habis ditempah dalam tempoh tiga jam selepas pelancarannya bulan lalu.

Sambutan itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman bertanah yang menawarkan ruang lebih luas, akses perhubungan yang baik serta persekitaran kejiranan yang sesuai untuk kehidupan berkeluarga.

Seroja Gardens Fasa 1 adalah pembangunan kediaman terbaharu di perbandaran Nilai Impian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM48.3 juta, membabitkan kawasan seluas 7.44 ekar.

Projek berstatus pegangan bebas itu menawarkan 52 unit rumah berkembar setingkat dengan keluasan tanah 40 kaki x 80 kaki dan keluasan binaan 1,971 kaki persegi, pada harga bermula RM905,888 seunit.